RSS

MELLISA (Abdullah Hussain)

SINOPSIS

Mellisa, seorang gadis Cina, berasa menyesal kerana mengikut ajakan Farid ke pejabat surat khabar yang menyebabkan dia berkenalan dengan Syahid. Peristiwa itu telah membuatkan dia teringat akan Hisyam. Wajah Syahid menyerupai wajah Hisyam iaitu kawannya sewaktu kecil dahulu. Mellisa terkenang akan kemesraannya bersama-sama dengan Hisyam. Mereka selalu bermain bersama-sama dan Hisyam pernah menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan Mellisa apabila mereka sudah besar nanti. Malangnya Hisyam telah terkorban dalam peristiwa 13 Mei. Peristiwa hitam itu sukar luput daripada ingatan Mellisa. Justeru, dia memilih peristiwa 13 Mei sebagai latihan ilmiah untuk sarjana muda dalam bidang Sejarah.

       Mellisa  jatuh hati kepada Syahid kerana keberaniannya dan hubungan mereka semakin rapat. Namun, keakraban Mellisa dan Syahid tidak lama kerana Mellisa meninggalkan Syahid. Dia mengambil keputusan itu kerana tugas dan tanggungjawabnya kepada tanah air. Dia amat cinta akan negaranya dan memilih untuk mengetepikan perasaan hatinya. Dia menjadi anggota tentera kerana tidak mahu peristiwa 13 Mei berulang lagi.

TEMA

Percintaan antara dua insan yang berbeza budaya.

Mellisa seorang gadis berketurunan Cina, pernah menyulam kasih semasa zaman kanak-kanaknya dengan budak keturunan Minang namun kecundang kerana kematian menjemput Hisyam akibat rusuhan 13 Mei. Setelah dewasa, Mellisa jatuh cinta dengan Syahid yang juga pemuda Melayu dan seiras Hisyam namun akhirnya terpaksa meninggalkan Syahid tanpa berita kerana telah dipanggil bertugas sebagai tentera.

PERSOALAN 

1.    Persoalan pengorbanan demi cinta akan negara.

 Mellisa sanggup mengorbankan keperluan dirinya dengan meninggalkan orang yang dicintai untuk menyahut panggilan mempertahankan negara.

2.    Persoalan persengketaan antara kaum

Hasyim dan ibunya telah menjadi mangsa rusuhan kaum pada 13 Mei di Jalan Petaling semasa dalam perjalanan pulang dari rumah keluarganya di hadapan Stadium Negara.

3.    Persoalan kesedaran terhadap sejarah negara.

Mellisa yang pernah melalui zaman 13 Mei mengkaji sejarah peristiwa itu melalui tesisnya hingga menimbulkan rasa tanggung jawab kepada negara dan tanah air.

WATAK DAN PERWATAKAN

Watak Utama

Mellisa

  1. Nama panggilannya ialah Mei.
  2. Gadis berketurunan Cina dan nenek moyangnya  berasal dari Guangdong.
  3. Seorang yang lincah, suka bercakap dan bersifat terbuka.

4.    Bersemangat patriotik

Mellisa seorang gadis yang sanggup meninggalkan keperluan diri semata-mata kecintaannya terhadap negara dengan menjadi tentera.

5.  Mempunyai daya ingatan yang tinggi.

Ingatan Mellisa terhadap semua peristiwa yang pernah berlaku pada zaman kanak-kanaknya bersama Hisyam seolah-olah baru berlaku sedangkan pada masa itu dia baru berumur 5 tahun. Ingatannya ini juga yang menyebabkan dia nekad mencari jawapan punca rusuhan yang meragut nyawa ‘hero’nya berlaku.

6.    Seorang yang terpelajar.

Mellisa merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sastera.

Watak Sampingan

Hisyam

  1. Berketurunan Minang.
  2. Seorang yang warak – rajin ke masjid terutama pada waktu maghrib.
  3. Penyayang – amat menyayangi Mellisa.
  4. Rajin – sering membantu ibunya menjual kuih koci dan nasi lemak setiap pagi.
  5. Bercita-cita  tinggi – dia ingin menjadi peguam atau tentera.

Syahid

  1. Pengarah Syarikat surat khabar
  2. Wajahnya persis Hisyam.
  3. Berani – dia  berani menghulurkan salam perkenalan kepada Mellisa.
  4. Suka berterus terang – dia berterus terang tentang perasaannya terhadap Mellisa.

 

Latar

Latar Masa

  1. Siang –  Pertemuan antara Farid dan Mellisa dengan Syahid di syarikat surat khabar.
  2. Senja atau waktu Maghrib –  Hisyam ke masjid untuk sembahyang berjemaah.
  3. 13 Mei – berlakunya rusuhan kaum yang telah mengorbankan Hisyam.

Latar Tempat

  1. Pejabat Syahid –  Mellisa dan Farid berjumpa atas urusan kerja
  2. Rumah Mellisa, – Hisyam menumbuk anak orang putih yang memegang tangan Mellisa. 

3.  Kampung Baru– tempat responden Mellisa menghantar sahabat baiknya balik ke rumah pada 13 Mei 1969, yang akhirnya menyebabkan tunangnya meninggal dunia dan mukanya berparut semasa bergelut dengan perusuh.

5.  Jalan Petaling, tempat berakhirnya riwayat Hisyam dan ibunya yang dibunuh perusuh.

Latar Masyarakat

  1. Masyarakat muda yang amat cinta akan negara

Mellisa amat cinta akan negara lebih-lebih lagi setelah mengetahui peristiwa yang menyebabkan rusuhan kaum yang berlaku pada zaman kanak-kanaknya dahulu.

B.    Masyarakat  berbilang kaum yang hidup harmoni

Keluarga Mellisa yang berketurunan Cina duduk sekampung dengan keluarga Hisyam dengan aman dan damai sehinggalah peristiwa berdarah 13 Mei berlaku. 

3.  Masyarakat pelajar yang gigih.

Mellisa  amat tekun menyiapkan tesisnya dengan membuat rujukan terperinci  dengan menyemak pelbagai dokumen, buku, akhbar dan majalah.

4.  Masyarakat  miskin

Hisyam tinggal di rumah setinggan.

6.  Masyarakat  majmuk yang bersengketa

Akibat sentimen yang ditanam oleh penjajah  kepada penduduk Tanah Melayu menyebabkan rusuhan kaum berlaku.

Nilai

1.    Nilai kasih sayang

Mellisa amat menyayangi Hisyam iaitu hero zaman kanak-kanaknya dan tetap terkenang akannya walaupun peristiwa yang meragut nyawa Hisyam telah lama berlalu.

2.    Nilai kegigihan.

Mellisa amat tekun dan gigih mencari maklumat tentang peristiwa yang mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969, dengan mengumpul bukti bukan sahaja melalui pembacaan daripada pelbagai dokumen, tetapi melalui pertemuan bersama-sama responden yang terlibat secara terus dengan peristiwa berdarah itu.

3.    Nilai keberanian.

Hisyam amat berani melindungi Mellisa. Hisyam telah menumbuk  anak orang Inggeris yang memegang tangan Mellisa.

4.    Cinta akan tanah air

Mellisa seorang gadis yang sanggup meninggalkan keperluan diri semata-mata kecintaannya terhadap negara dengan menjadi tentera

Pengajaran

  1. Kita haruslah menyedari bahawa pertelingkahan antara kaum hanya akan menimbulkan masalah.
  2. Kita haruslah bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara agar pekerjaan yang kita lakukan akan membuahkan hasil yang memuaskan.
  3. Kita janganlah mudah menyimpan dendam terhadap mereka yang melakukan kesalahan terhadap kita.

4.  Kita mestilah mempunyai semangat cinta akan negara kerana dengan semangat inilah kita boleh hidup dengan aman dan sejahtera.

 Sumber:  Nota Rujukan KOMSAS, Bahagian Perkembangan Kurikulum, KPM.

 
Leave a comment

Posted by on March 15, 2011 in KOMSAS

 

AMALAN KEJIRANAN

SEMANGAT KEJIRANAN

Sedarkah anda semangat kejiranan semakin kurang diamalkan oleh masyarakat kini. Kita dapat melihat ini berlaku terutamanya penduduk di bandar. Masyarakat bersikap “Seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing” kerana mereka lebih mementingkan diri sendiri berbanding semangat kejiranan. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat ini dalam kalangan masyarakat Malaysia harus dilaksanakan dengan segera.

Amalan bergotong-royong antara langkah yang dapat diambil bagi menyemarakkan semangat kejiranan ini. Penduduk setempat perlu bekerjasama dalam membersihkan kawasan kediaman. Pepatah Melayu ada menyebutkan bahawa “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.  Segala pekerjaan yang dilakukan tidak kira yang sukar dan yang ringan akan lebih mudah dilakukan dan cepat diselesaikan. Ini secara tidak lansung dapat memupuk semangat perpaduan di samping persekitaran tempat tinggal yang bersih dan mendamaikan.

Selain itu, amalan ziarah–menziarahi juga dapat dijadikan alat untuk menjalin semangat kejiranan. Sekiranya jiran kita mengadakan kenduri atau majlis perkahwinan, penduduk di sesebuah kawasan perumahan boleh datang berkunjung dan meramaikannya. Ini dapat memberi peluang kepada penduduk setempat untuk bertanyakan khabar dan berbual-bual mesra serta bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain. Seandainya keadaan ini berlaku, semangat kejiranan akan lebih mudah untuk disemai  kerana mereka saling mengenali dan memahami bak kata pepatah, “Tak kenal maka tak cinta”.

Amalan rumah terbuka juga mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Rumah terbuka lazimnya diadakan pada hari-hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Deepavali, dan Hari Krismas. Jiran-jiran yang berhampiran boleh membantu dalam membuat persediaan. Dengan ini, permuafakatan dapat dibentuk kerana penduduk kampung itu beramah-mesra dengan makan bersama-sama tidak kira bangsa atau pun agama kerana “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.

Kesimpulannya, semangat kejiranan dapat dipupuk sekiranya masyarakat menyedari kepentingannya. Slogan “Jiran sepakat membawa berkat” haruslah dipraktikkan dalam diri masing-masing. Seandainya diamalkan, barulah masyarakat setempat dapat hidup dengan aman dan harmoni.

Hasil Karangan: Sandra Thomas 5 Sains 2011 SMK. Pengiran Omar II, Sipitang, Sabah.

 

 
Leave a comment

Posted by on March 15, 2011 in KARANGAN BERPANDU

 

PUNCA-PUNCA PENCEMARAN UDARA

Punca Pencemaran

Rangka Pendahuluan

T – Pencemaran udara merupakan perbuatan mengotorkan kebersihan udara sehingga menyebabkan kualitinya merosot.

I – Indeks Pencemaran Udara Malaysia (IPUM) telah menunjukkan bahawa kualiti udara di negeri Selangor pada tahun 2000 bukan sahaja berada pada tahap tidak sihat tetapi juga sangat tidak sihat sepanjang tahun.

K – Justeru, punca-punca pencemaran tersebut harus dikenal pasti bagi memudahkan kita untuk menanganinya agar tidak terus berleluasa.

Rangka Huraian Isi

AT – Salah satu punca yang menyebabkan udara tercemar ialah bencana alam yang berlaku di negara ini ataupun negara-negara yang berhampiran.

AH1 – Bencana alam ialah fenomena semulajadi yang mengakibatkan kemusnahan alam seperti letusan gunung berapi dan kebakaran hutan akibat kemarau yang berpanjangan.

AH2 – Contohnya, letusan Gunung Pinatubo di Filipina telah membebaskan debu yang terlalu banyak ke ruang angkasa sehingga menyebabkan jerebu yang sangat teruk di negara-negara yang berhampiran termasuklah negara kita.

AP – Dengan itu, bencana alam juga merupakan faktor penyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di negara kita.

Rangka Penutup

R – Tuntasnya, pencemaran udara di negara kita sebenarnya disebabkan oleh faktor semulajadi dan faktor kemanusiaan.

C –  Semua pihak haruslah berganding bahu bagi menyelesaikan permasalahan ini agar kesan yang lebih buruk tidak berlaku.

H – “Sebelum nasi menjadi bubur” langkah-langkah pencegahan perlu diambil dengan segara kerana “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

Tugasan: Cubalah anda huraikan punca-punca pencemaran yang lain dengan menggunakan teknik huraian isi seperti contoh di atas.

 
Leave a comment

Posted by on March 10, 2011 in KARANGAN BERPANDU